Undi 18 tahun: Pengundi muda perlu menilai berdasarkan meit - Utusan Malaysia

Undi 18 tahun: Pengundi muda perlu menilai berdasarkan meit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 18 Julai – Generasi muda yang kini turut terlibat dalam proses demokrasi negara ekoran pindaan had umur mengundi kepada 18 tahun perlu membuat penilaian dalam memilih pemimpin berdasarkan merit pencapaian negeri dan negara.

Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Perak, Mohd. Zahid Abu Bakar berkata, ekoran pindaan itu, dianggarkan seramai 7.8 juta pengundi baharu bakal mencorakkan demokrasi di negara ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Oleh itu, pihaknya mengharapkan generasi muda terbabit dapat mencerna pemikiran dengan lebih kritis dalam membuat penilaian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penilaian yang dibuat bukan atas dasar sentimen sempit dan isu populisma,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini Dewan Rakyat meluluskan Pindaan Rang Undang-Undang Pilihanraya bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundian secara automatik.

Kata Mohd. Zahid, Dewan Pemuda Pas negeri melihat pindaan itu sebagai satu cabaran besar khususnya dalam menyahut seruan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meminta semua ahli parti itu memberi pendedahan kepada generasi muda tentang pentingnya mengetahui politik Islam dan politik Malaysia.

“Bersesuaian dengan konsep politik matang dan sejahtera yang dibawa oleh PAS, Dewan Pemuda Pas Perak akan menggerakkan seluruh jenteranya semaksimum mungkin bagi menerangkan kepada generasi muda berkenaan politik Islam yang dibawa oleh Pas.

“Kami juga menyeru agar generasi muda menyambut baik pindaan ini demi kelangsungan dan kestabilan negara Malaysia,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini