PUTRAJAYA 15 Julai- Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Istana Johor tiada hak untuk campur tangan dalam urusan penentuan had umur belia di negeri berkenaan.
Dr. Mahathir berkata, sekiranya didapati ada campur tangan istana berhubung perkara itu, kerajaan akan membatalkan keputusan kerajaan negeri yang mengekalkan had umur belia kepada 40 tahun.
“Kita tak bincang, tetapi ada cerita (campur tangan istana).
“Istana tiada hak…kalau didapati ada campur tangan istana, kita akan batalkan keputusan itu,” Katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan kerajaan negeri Johor yang tetap dengan pendirian untuk mengekalkan had umur golongan belia kepada 40 tahun di negeri berkenaan.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dilaporkan berkata, dalam tempoh sebelum pindaan Akta 668 itu diwartakan, kerajaan negeri akan melakukan perjumpaan dengan semua pihak terlibat termasuk persatuan belia. -UTUSAN ONLINE











