IPOH – UMNO menolak untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti yang mengetepikan hak orang Islam dan Melayu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian UMNO itu jelas meskipun terdapat tawaran daripada tokoh mahupun parti politik tertentu untuk UMNO menyertai mereka.
“Kita akan menolak bukan sahaja tokoh tetapi mana-mana parti yang mengadakan kerjasama dengan parti yang mengetepikan orang Islam dan Melayu serta mahu melaksanakan Malaysian Malaysia.
“Biarpun tokoh itu dalam kerajaan sekarang mahupun masih belum dalam kerajaan, selagi mereka bekerjasama dengan parti berkenaan, kita akanmenolak sebarang kerjasama,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tambun di Bangunan UMNO negeri disini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Ketua Bahagian UMNO Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah.
Beliau berkata, UMNO juga tidak perlu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meskipun parti keramat orang Melayu itu berdepan tindakan dibubarkan oleh kerajaan.
Katanya, ini kerana beliau yakin terdapat kaedah lain untuk ahli-ahli UMNO terus berada dalam parti.
“Ucapan (Tun Dr. Mahathir Mohamad) yang menawarkan ahli UMNO memperkukuhkan perpaduan Melayu kerana kita memiliki majoriti yang besar namun disebabkan berpecah kepada enam parti, maka kerusi Melayudan kawasan Melayu terhakis.
“Kalau tidak mahu perpecahan (Melayu) berlaku, bubarkan Bersatu dan Amanah (Parti Amanah Negara) kerana daripada enam parti itu adalah parti ini. Bubarkan Bersatu dan Amanah, bukannya bubarkan UMNO kerana kita parti yang besar,” katanya.-UTUSAN ONLINE











