SUNGAI PETANI 3 Julai – Seekor ular sawa batik seberat 15 kilogram dan sepanjang dua meter yang kekenyangan setelah menelan beberapa ekor ayam berjaya ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda di Kampung Baru Pokok Machang, Pokok Selambau di sini, hari ini.
Pegawainya, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, ular itu ditangkap setelah menceroboh sebuah reban ayam milik seorang penduduk di kampung berkenaan.
“Seramai empat orang anggota APM yang diketuai Sarjan (PA) Amran Ismail berada di lokasi kira-kira pukul 1 pagi selepas menerima panggilan daripada seorang penduduk.
“Ular sawa itu sudah pun kekenyangan setelah menelan beberapa ekor ayam dalam reban itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azahar berkata, anggota APM lain yanh terlibat menangkap ular itu ialah Prebet (PA) Abdullah Taib, Lans Koperal (PA) Siti Bariah Abu Bakar dan Prebet (PA) Mohd. Zikry Zafuan.
Tambah beliau, ular sawa itu dibawa balik ke pejabat APM untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE











