IPOH – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin dan ahli-ahli UMNO tidak menghukum beliau yang sedang berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah selagi belum didapati bersalah.
Tegas beliau, proses undang-undang yang dihadapinya tidak seharusnya menjadi spekulasi dan dijadikan modal untuk menabur persepsi yang salah lagi tidak berasas.
“Sebanyak 87 pertuduhan (salah guna kuasa dan rasuah) yang dikenakan tidak akan membunuh (karier politik). Bukan kerana saya takut untuk diheret ke mahkamah.
“Selagi saya tidak didapati bersalah maka jangan hukum saya termasuk menghukum daripada segi politik.
“Saya kembali bertugas semula sebagai Presiden UMNO kerana mahu bersama-sama kepimpinan parti dan rakyat,” ujarnya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengahari Bersama Pemimpin Bahagian UMNO di kediaman Setiausaha UMNO Negeri Perak, Datuk Azian Osman di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad.
Ahmad Zahid berkata, tindakan mengheret beliau ke mahkamah dengan jumlah pertuduhan sedemikian dilihat sebagai benar-benar untuk ‘membunuh’ dirinya.
“Saya pernah bercakap dengan seseorang di sebuah agensi kerajaan agar terus menyiasat dan lengkapkan sehingga 100 pertuduhan (rasuah) untuk puaskan hati.
“Apa pun saya menghormati pelaksanaan proses undang-undang dan menaruh keyakinan bahawa ia akan dilunaskan dengan keluhuran undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











