KUALA LUMPUR 30 Julai- Taktik sindiket penyeludup menyembunyikan ribuan karton rokok di sebalik gegulung plastik terbongkar apabila dikesan pihak berkuasa semasa ditahan di Road Check Point (RCP) Kalabakan, Tawau, Sabah semalam.
Portal Utusan Borneo melaporan, usaha seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang dipercayai cuba memberi sogokan RM2, 000 untuk membebaskan pemandu dan kelindan lori gagal apabila turut ditahan oleh Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu, kira-kira pukul 1.55 pagi.
Difahamkan, sebanyak 7,425 karton rokok Premium yang disembunyikan dalam 297 plastik hitam ditemukan dalam lori kontena sindiket terbabit.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pemandu serta kelindan lori masing-masing berusia 34 dan 44 tahun dipercayai dalam perjalanan membawa kesemua rokok seludup itu menghala dari Kalabakan ke Keningau.
“Sindiket itu dikesan menggunakan radio amatur sebagai alat perhubungan komunikasi mereka berikutan jaringan talian telekomunikasi terhad Kalabakan-Keningau.
“Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM170,000 termasuk lori kontena.
“Lelaki ketiga yang ditahan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.- UTUSAN ONLINE











