KUALA LUMPUR 9 Julai – Bagi meningkatkan pendapatan pesawah yang berada dalam kelompok pendapatan isi rumah terendah B40, kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenal beberapa model penyatuan tanah atau mini estet bagi melipatgandakan pendapatan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kesemua model ini bagaimanapun tidak melibatkan pengambilalihan tanah pesawah dan tiada proses perundangan mengenainya.
“Model pertama, tumpuan diberikan kepada lima hektar tanah kepada pesawah cemerlang dengan unjuran pendapatan RM4,000 sebulan. Kedua, menarik penyertaan usahawan muda dengan tumpuan keluasan tanah 50 hektar dan unjuran pendapatan RM15,000 sebulan.
“Ketiga melibatkan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), syarikat milik kerajaan (GLC) dan sektor swasta dengan keluasan 200 hektar, 500 hektar dan 1,000 hektar dengan pendapatan lebih RM100,000 ke atas, mengikut kapasiti,” katanya sewaktu pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PH-Jerlun) yang meminta penjelasan kewajaran dasar untuk penyatuan tanah sektor padi bagi meningkatkan pendapatan petani. – UTUSAN ONLINE











