NEW DELHI 10 Julai – Perniagaan India tidak yakin perjanjian perdagangan bebas yang dibincangkan oleh ASEAN dan enam rakan perdagangan utamanya akan mewujudkan situasi sama-sama menang bagi mereka, kata menteri perdagangan negara itu.
Menyertai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) itu dilihat sebagai lanjutan dasar ‘Bertindak Ke Timur’ negara itu, namun New Delhi masih ragu-ragu sama ada ia boleh mendapatkan konsesi daripada pihak berunding termasuk Australia, China, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan dalam bidang perkhidmatan.
Menteri Perdagangan India, Piyush Goyal, Menteri Perdagangan Thailand Chutima Bunyapraphasara, Menteri Perdagangan Indonesia Enggartiasto Lukita, Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi dan pengerusi Jawatankuasa Rundingan Perdagangan RCEP Iman Pambagyo mengadakan rundingan tidak formal di ibu negara India itu.
Goyal berkata, wujud kebimbangan dan sikap pesimis dalam kalangan perniagaan India terhadap impak perjanjian perdagangan bebas sebelum ini dan oleh itu India mengharapkan manfaat yang lebih baik daripada RCEP, menurut kenyataan Kementerian Perdagangan India.
Dalam rundingan ke-26 peringkat pakar RCEP baru-baru ini di Melbourne beberapa kemajuan dicapai dengan negara anggota menunjukkan fleksibiliti dan penyesuaian.
“India juga telah menunjukkan fleksibiliti yang ketara semasa rundingan dan membantu mencapai penumpuan dalam beberapa bidang penting. Dua bab lagi hampir diselesaikan, yang menjadikan persetujuan ke atas sembilan daripada 16 bab,” menurut kementerian itu.
Rundingan lanjut akan berlangsung di China dan Vietnam.
Industri India tidak yakin bahawa RCEP akan mewujudkan kedudukan sama-sama menang untuk semua dengan memastikan hasil yang seimbang merentasi semua bidang utama terutama dalam barangan dan perkhidmatan.
“Isu akses pasaran dengan China ke atas barangan India menjadi sangat sukar,” katanya.
India sebelum ini berusaha keras meliberalisasi akses pasaran untuk profesional dan syarikatnya dalam zon RCEP yang dicadangkan.
Kenyataan Kementerian Perdagangan pada Selasa turut memuatkan pendirian India yang tidak puas hati terhadap FTA negara itu dengan ASEAN.
“India membuat pengorbanan tidak seimbang dalam barangan memberi lebih banyak daripada yang diterimanya. Janji tawaran yang sepadan dalam perkhidmatan juga tidak dipenuhi ASEAN.
“Lonjakan barangan import India berlaku ekoran ketidakpatuhan kepada Peraturan Tempasal dan kurangnya kerjasama penuh dalam siasatan bagi menangani isu itu,” katanya.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa penggunaan tarif keutamaan oleh India di bawah FTA dengan ASEAN adalah kurang daripada 30 peratus disebabkan oleh standard, langkah kawal selia dan halangan bukan tarif lain di Asia Tenggara. – BERNAMA











