Tidak perlu isytihar darurat, tutup kilang disyaki - Utusan Malaysia

Tidak perlu isytihar darurat, tutup kilang disyaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG – Pengisytiharan darurat bencana pencemaran di daerah ini tidak perlu ketika ini kerana banyak implikasinya yang akan berlaku.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, langkah yang perlu dilakukan pada masa ini ialah menutup sementara 30 kilang selepas disyaki mengeluarkan bahan kimia dan mempunyai kaitan dengan punca pencemaran.

“Kita bukannya suruh kerajaan tutup lebih 2,000 kilang semuanya di Pasir Gudang tetapi kilang-kilang yang dalam siasatan ada mempunyai kaitan dengan pencemaran. Terdapat 250 kilang menggunakan bahan kimia dan 30 daripadanya sudah dikenal pasti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat pemantauan dan siasatan daripada 30 kilang ini, mana satu yang ada kaitan terutama kilang-kilang yang baru sahaja beroperasi dua atau tiga tahun di Pasir Gudang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Online selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai di sini sebentar tadi.

Hassan berkata, kerajaan boleh memujuk pemilik kilang secara sukarela menghentikan operasi sementara dan jika enggan boleh menggunakan kuasa politik untuk mengarahkan mereka menutup kilang mereka.

Katanya, apabila kilang ditutup sementara tiada pelepasan bahan berbahaya dan proses siasatan dapat berjalan lancar manakala sesi persekolahan boleh diteruskan seperti biasa tanpa ada gangguan pembelajaran.

“Kerajaan Johor perlu utamakan rakyat, bukan utamakan kilang. Amat malang apabila pelajar sekolah dijadikan bahan kajian dan dalam keadaan sekarang, sekolah pula ditutup sedangkan kilang terus beroperasi.

“Jangan tutup sekolah kerana anak-anak kita mahu belajar dan menghadapi peperiksaan, Kementerian Pendidikan tidak ganti hari persekolahan, sepatutnya kilang yang ditutup tetapi situasi sekarang terbalik pula,” katanya.

Beliau menegaskan, pemilik-pemilik kilang juga tidak boleh angkuh dan kerajaan harus menggunakan kuasa dan undang-undang sedia ada.

Jelasnya, jika kerajaan tiada kuasa untuk mengarahkan mereka menutup kilang dalam keadaan yang kritikal ketika ini, akta sedia ada perlu dipinda bagi memastikan tindakan tersebut dapat dilakukan.

Katanya, langkah berkenaan boleh dilakukan menerusi pindaan enakmen pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) atau meluluskan pindaan undang-undang di Parlimen sekali gus dapat memperkasa undang-undang sedia ada. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini