Tidak guna banyak parti jika bangsa berpecah - Abu Bakar - Utusan Malaysia

Tidak guna banyak parti jika bangsa berpecah – Abu Bakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS – Para pemimpin Melayu dan Bumiputera perlu membuka pintu hati untuk bersama-sama di bawah satu wadah politik sekiranya sayang akan nasib serta masa depan bangsa sendiri.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Bersatu, Abu Bakar Yahya, kebersamaan amat penting kerana kewujudan terlalu banyak parti politik yang mewakili orang Melayu dan Bumiputera hanya akan menambahkan lagi perpecahan serta pengasingan kaum walaupun masing-masing mempunyai ideologi perjuangan yang sama.

“Apa yang boleh kita (orang Melayu dan Bumiputera) banggakan mempunyai banyak parti politik sedangkan ia membawa perpecahan dalam kalangan kita. Walaupun orang Melayu dan Bumiputera adalah majoriti, hakikatnya pada hari ini kaum itu dari segi politiknya adalah minoriti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ditambah pula dengan sikap dengki, khianat tak habis-habis, sebab itu kita terus berpecah. Jadi semua pemimpin Melayu dan Bumiputera perlu buka pintu hati untuk kepentingan bangsa” katanya ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Pertubuhan Ikatan Murni Chetok (PIMC) di Kampung Binjai Chetok, di sini semalam.

Hadiri sama dalam majlis itu, Yang Dipertua PIMC, Muhammad Afifi Muhammad Noor dan Ketua Bahagian Bersatu Bahagian Rantau Panjang, Syed Mohamad Zaimie Syed Drus.

Pada masa sama, Abu Bakar turut menerima lebih 2,000 borang keahlian Bersatu tanda sokongan rakyat tempatan terhadap parti itu yang mendokong usaha penyatuan semula orang Melayu dan Bumiputera di bawah satu bumbung di negara ini.

Borang keahlian tersebut diserahkan oleh Muhammad Afifi yang juga bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chetok pada pilihan raya umum lalu.

Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri turut menyampaikan salam Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada lebih 500 hadirin dalam majlis tersebut selain menyerahkan bantuan keperluan kepada golongan yang memerlukan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini