KOTA BHARU 20 Julai – UMNO tidak pernah mengambil kesempatan ke atas kelemahan atau keretakan parti lain untuk kepentingan sendiri.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, fokus parti itu adalah kepada perjuangannya dan kini, memperkukuhkan ‘taawun siyasi’ (kerjasama politik) dengan Pas pada masa kini.
“Kita tidak pernah mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di JKR 10, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan timbalannya, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh serta Setiausaha Dewan Ulama Pas, Mohd. Asri Daud.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keretakan yang berlaku dalam PKR sehingga menyebabkan kedudukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak stabil.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, nama atau jenama baharu antara UMNO dan Pas akan diumumkan dalam satu majlis rasmi tidak lama lagi.
“Kita akan umum apabila tiba masanya. (Nama) Harus dibawa ke peringakt tertentu untuk kita muktamadkan. Ada majlis untuk diumumkan,” katanya.
Pun begitu beliau berkata, masih terlalu awal untuk membincangkan soal pembahagian kerusi di antara kedua-dua parti tersebut.
“Peringkat ‘taawun siyasi’ merupakan satu kerjasama dan telah dipahat dalan piagam yang akan ditandatangi bersama.
“Dan terjemahan daripada piagam itulah akan dibawa ke peringkat ‘tahaluf siyasi’ (pakatan politik) di mana ketika itu perkara mikro akan dibincangkan,” katanya.
Semalam Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, kedua-dua parti itu bakal menggunakan nama atau jenama baharu untuk pakatan mereka tidak lama lagi.
Pas dan UMNO bersetuju bahawa penggunaan nama baharu itu adalah satu keperluan dan akan turut melibatkan parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain. – UTUSAN ONLINE











