MUZAFFARPUR, INDIA 19 Julai – Terpaksa meredah lumpur setinggi paras dada dan menjunjung pakaian di atas kepala hampir setiap hari, mangsa bencana banjir di Bihar kini kelaparan dan semakin putus asa.
Itu adalah keadaan yang terpaksa ditanggung oleh mereka susulan musim monsun yang melanda ketika ini termasuk di beberapa negara di Asia Selatan.
Seorang penjaga kedai, Raj Majhi berkata, ahli politik di negara ini hanya ‘menyedari’ keadaan mereka apabila banyak nyawa menjadi korban dan jika tidak, tiada pihak yang mengambil tahu.
“Bila ramai dalam kalangan kami mati lemas, barulah ahli politik mula bertanya mengenai keadaan kami, jika tidak, tiada pihak peduli akan nasib yang menimpa kami di sini,” katanya.
Rumah Majhi ditenggelami banjir dan hanya bumbung yang kelihatan, menyebabkan dia bersama keluarga terpaksa berpindah ke kawasan lain.
Kini, lelaki itu dan keluarganya ‘menetap’ di atas sebuah tanah kosong di tepi lebuh raya dan di situ mereka menjalani kehidupan seperti memasak dan tidur.
Bihar merupakan satu daripada kawasan paling teruk terjejas akibat banjir ketika musim monsun, selain dinobatkan sebagai antara wilayah termiskin di rantau Asia Selatan.
Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan penduduknya terdesak mendapatkan bantuan setiap kali dilanda musibah mahupun bencana.
Musim monsun kali ini mencetuskan banjir besar di Bihar yang meragut sekurang-kurangnya 67 nyawa dan jumlah itu dijangka terus bertambah dari semasa ke semasa memandangkan paras air sungai meningkat.
Seorang lagi penduduk, Sonabathu Devi berkata, dia terpaksa meninggalkan rumahnya dan barangan lain bagi menyelamatkan diri.
Di beberapa kawasan yang paras banjir sudah mula menurun, penduduk kampung mula pulang ke kediaman masing-masing untuk mengambil barangan keperluan.
Nima Devi pula memberitahu, bekalan makanan semakin berkurangan sejak banjir melanda, menyebabkan mereka terpaksa mencatu makanan.
“Anak-anak saya sering meminta makanan, namun apa yang kami boleh lakukan?” soalnya sambil memaklumkan dia dan keluarga hanya makan sekali sehari iaitu apabila pasukan sukarelawan mengedarkan bubur.
Semalam, pasukan keselamatan memaklumkan angka kematian akibat banjir di Asia Selatan, termasuk di Nepal dan Bangladesh mencecah hampir 300 orang. – AFP/AGENSI











