MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memberi amaran kepada pemain bintangnya, Alexis Sanchez supaya berusaha lebih keras jika mahu kembali berada pada tahap sebenar di Old Trafford.
Sanchez dilihat terus bergelut bersama United sejak berhijrah dari Arsenal pada 2018 apabila hanya menjaringkan lima gol sepanjang 45 penampilannya.
Lebih menyedihkan, dia hanya berjaya menjaringkan satu gol untuk aksi Liga Perdana England (EPL) musim lalu.
Meskipun terdapat spekulasi pemain berusia 30 tahun berkenaan akan meninggalkan pasukan, namun ia dilihat sukar ekoran gaji semasanya di United adalah sebanyak £500,000 (RM2.55 juta) seminggu.
“Buat masa ini, Sanchez masih termasuk dalam perancangan pasukan untuk musim hadapan.
“Saya boleh membantunya untuk berada pada tahap sebenar, namun dia tidak boleh menganggap saya akan sentiasa memberinya peluang biarpun prestasinya tidak baik.
“Sebagai pemain, dia perlu pandai merebut segala peluang yang terhidang kerana Sanchez menunjukkan persembahan yang bagus di pentas Copa America tetapi malangnya dia berdepan kecederaan. Saya fikir ia tidak terlalu teruk dan akan kembali pulih dalam masa terdekat,” kata Solskjaer.
Selepas menjaringkan dua gol dalam lima aksi pembukaan Copa America, Sanchez telah berdepan kecederaan hamstring dalam aksi penentuan tempat ketiga ketika mereka tewas 1-2 kepada Argentina. – Agensi











