JOHOR BAHRU – Sebarang permohonan untuk membina kilang kimia baharu di Pasir Gudang tidak akan diluluskan lagi pada masa depan bagi memastikan pembangunan yang lebih lestari di kawasan terbabit.
Semasa menegaskan perkara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, perancangan itu telah dibincang bersama kerajaan negeri bagi memastikan Pasir Gudang membangun dengan lebih lestari pada masa depan.
“Perancangan (bandar) Pasir Gudang kena lebih lestari pada masa depan, kita tidak boleh luluskan lagi semua kilang-kilang kimia, tidak boleh,” katanya kepada pemberita selepas sesi townhall bersama pihak-pihak industri di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini hari ini.
Menurut beliau, terdapat 2,005 kilang di kawasan Pasir Gudang dengan 250 daripadanya adalah kilang kimia.
“Melihat kepada perkara itu, kita hari ini telah mengadakan perbincangan dengan pihak industri untuk melihat langkah-langkah segera yang boleh diambil dan langkah-langkah yang turut kita persetujui ialah setiap sekolah akan diberikan ‘pengesan gas’ oleh pihak industri dengan menjadikan sekolah terbabit anak angkat. – Bernama











