KUALA TERENGGANU – Jurulatih Terengganu FC ll (TFC ll), Tengku Hazman Raja Hassan yakin mampu melonjakkan pasukannya ke tangga ketiga Liga Perdana, musim ini.
Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan prestasi semasa anak buahnya, yang semakin meningkat terutama pemain muda tempatan yang diberi peluang beraksi dalam hampir setiap perlawanan pada pusingan kedua liga.
“Secara peribadi saya sasarkan untuk menempatkan TFC ll dalam kelompok lima terbaik Liga Perdana pada musim ini.
“Tetapi apabila melihat pada jurang satu mata dengan UiTM FC yang pada masa ini berada di tempat ketiga dan ada lagi baki tiga perlawanan, saya yakin ‘The Turtle’ mampu naik ke tangga tiga teratas, sekali gus memperbaiki kedudukan di tempat tercorot, musim lalu,” katanya kepada pemberita selepas menentang Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, semalam.
Pada pertemuan itu, TFC ll seri 1-1 dengan skuad Harimau Kumbang.
Mengulas perlawanan, semalam, Tengku Hazman memberitahu, secara keseluruhan pemainnya berjaya melaksanakan perancangan yang dibuat, namun, ketumpulan pada bahagian serangan menyebabkan banyak peluang yang dihasilkan tidak dapat diterjemah dengan jaringan gol.
“Saya akui kelemahan ini masih menghantui kita walaupun sudah masuk perlawanan ke-17 iaitu akhir musim,” katanya. – BERNAMA











