Terengganu bakal wujudkan Kampung Budaya? - Utusan Malaysia

Terengganu bakal wujudkan Kampung Budaya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Terengganu merancang untuk mewujudkan sebuah perkampungan budaya bagi menambahkan lagi keunikan negeri ini di samping menjadi tarikan terbaharu terutama kepada pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, buat masa ini, pihaknya masih mengenal pasti lokasi yang bersesuaian di sekitar mercu tanda ikonik, jambatan angkat (drawbridge) untuk melaksanakan pembangunan itu bersekali dengan projek pasar terapung.

Katanya, pembinaan Kampung Budaya yang mengetengahkan elemen tradisi sebagaimana Kampung Budaya di Sarawak itu dijangka membabitkan kos antara RM5 juta hingga RM10 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini kita ada program Pekan Budaya di setiap daerah jadi dengan adanya Kampung Budaya kelak, orang ramai boleh melihat kepelbagaian dan keunikan seni, budaya serta warisan Terengganu.

“Kita akan menampilkan produk negeri seperti batik, songket, tembaga, keris di samping aneka makanan tradisi yang secara tidak langsung akan memudahkan orang ramai khususnya pelancong asing untuk mengenali Terengganu dengan lebih dekat sekali gus menarik mereka ke Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hotel Rest & Comfort di Panji Curve Business Park di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengerusi Hotel Rest & Comfort, Datuk Roslan Awang Chik.

Ariffin berkata, pihaknya turut menerima cadangan daripada Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Kuala Nerus yang berhasrat untuk mewujudkan Kampung Budaya mini di daerah tersebut bagaimanapun, perkara tersebut masih di peringkat rundingan bagi memastikan agenda yang dirintis dapat diselaraskan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini