KUANTAN – Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kekal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) selepas menang tanpa bertanding pada sesi pemilihan kepimpinan baharu persatuan itu di sini hari ini.
Pemilihan jawatankuasa bagi penggal 2019-2022 yang diadakan pada Mesyuarat Agung Tahunan PBNP ke-63 turut menyaksikan dua muka baharu dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis.
Jawatan Timbalan Presiden menjadi milik Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak yang menggantikan Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.
Muhammad Safian kini memegang jawatan Naib Presisen I manakala Naib Presiden II disandang oleh Datuk Seri Zamri Ramly.
Dua muka baharu dalam 10 barisan kepimpinan PBNP pula diisi oleh Datuk Mohd Mazri Mahmud dan Muhammad Muaz Dahari.
Lapan individu pula kekal menyandang jawatan masing-masing iaitu Raja Mustapa Shah Raja Jalil Shah, Rosli Noordin, Abd Razab Wahab, Datuk Seri Mohamad Zaini Saleh, Ahmad Salizam Ghazali, Datuk Taufek Razak, S. Krishnan dan Adzland Zakaria.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Muhammad Safian itu dihadiri oleh 58 orang daripada 77 perwakilan termasuk Setiausaha Agungnya, Norlia Abdul Manaf. – K! ONLINE











