KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang dipercayai memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri pada Oktober tahun lalu didakwa Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tan Sou Hooi, 47 dan rakannya Tan Eng Liang, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Zamri Bakar.
Berdasarkan pertuduhan dikemukakan, mereka didakwa telah menawarkan pinjaman wang kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Wong Tzy Jian tanpa lesen yang sah.
Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di 3-10, The Boulevard Mid Valley City di Lingkaran Syed Putra pada pukul 3 petang, 16 Oktober 2018.
Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim dibuat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Wang 1951 yang boleh dihukum dibawah seksyen sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE











