DALAM kolum minggu ini saya ingin mengajak pembaca merenung ilmu agama, budaya, sejarah dan politik masing-masing serta bertanya satu soalan: Betulkah kamu tahu apa kamu cakap atau hukumkan?
Saya rasa perkara ini penting bukan sahaja bagi seseorang yang berhati-hati dengan konsep dosa dan pahala tetapi juga kepada berjiwa baik dan khuatir tersalah sangka.
Setelah berkecimpung lebih 30 tahun dalam bidang akademik, saya selalu disoal oleh pelajar, apakah ciri utama seorang ilmuwan. Umum berpandangan, seorang ilmuwan hebat adalah dia yang banyak ilmu dan tahu segala macam perkara serta bidang.
Tetapi saya selalu menjawab, seorang yang bergelar ilmuwan hebat sebenarnya adalah dia ‘tahu apa yang dia tak tahu’. Kenapa demikian jawapan saya? Mudah sahaja.
Seorang yang ilmunya hebat telah memanjat tiang keilmuan dan dapat melihat batasan-batasan ilmu yang diketahuinya serta nampak juga batasan ilmu-ilmu baharu yang belum diterokainya.
Ilmuwan yang menganggap dirinya lengkap berilmu hanya dengan memanjat sekaki dua tiang ilmu, maka ia belum melihat batasan ilmu tersebut dan tidak pun tahu menahu batasan ilmu-ilmu baharu lain.
Dalam penyeliaan ijazah kedoktoran (PhD), saya selalu mencabar pelajar segala perkara yang diketahuinya sebelum ini sebenarnya adalah palsu kesemuanya!
Kesemua ilmu yang diketahuinya tentang bidang kejuruteraan atau seni bina atau bangunan atau konsep Melayu atau Islam adalah berdasarkan binaan maklumat palsu semuanya!
Kenapa demikian? Seorang calon PhD harus merobohkan semua persepsi yang diketahuinya baik pengajian sarjana atau ijazah universiti atau daripada masyarakat, tokoh-tokoh pemimpin politik atau agama dan ibu bapanya sendiri.
Calon itu mesti membina semula fahamannya sendiri terhadap setiap perkataan yang bakal ditulisnya dalam tesis PhD.
Kalau ia perihal seni bina masjid maka apa maksud perkataan ‘seni bina’ dan ‘masjid’ yang diungkapkan? Betulkah masjid perlu ada kubah atau menara? Apakah dasar fahaman Islam yang menghasilkan masjid-masjid setempat?
Apakah yang ditetapkan oleh majlis agama tentang masjid itu pengaruhnya daripada politik kepartian atau daripada mazhab tertentu atau kedangkalan ilmu seni bina dan pengaruh perlakuan terhadap ruang dan binaan?
Segala konsep, segala istilah, segala frasa, segala fahaman yang diserap oleh minda calon sebagai Melayu atau Cina, sebagai orang Islam atau Kristian sebagai seorang pelajar dari sesuatu institusi, kesemuanya perlu disoal, dirobak-robek dan dibina semula kefahaman.
Ini sehingga calon itu boleh menyebut terhadap kesemua istilah dan konsep yang digunanya dengan ungkapan: istilah atau konsep ini saya tahu sebegini tetapi saya tidak tahu sedemikian. Itu baharulah seorang boleh berbicara tentang sesuatu perkara dengan jelas dan berhemah.
Malangnya dalam masyarakat kita, orang Melayu merasakan dirinya serba tahu. Mereka serba tahu tentang Islam. Mereka serba tahu tentang orang Cina. Mereka serba tahu tentang niat ‘jahat’ Kristian. Mereka serba tahu tentang parti DAP dan niat ‘jahatnya’.
Mereka amat tahu tentang sejarah 13 Mei. Namun demikian, apabila disoal tentang asas serta rangka pemikiran mereka, satu habuk pun tak boleh pakai.
Sebabnya? Orang Melayu suka sangat percaya tafsiran tanpa analisis. Orang Melayu suka memakai-makai tafsiran tok guru agama yang banyak bercakap tentang kejahilan Hindu, kejahatan Kristian, dan macam-macam lagi. Tak perlu fikir, si mufti atau si ustaz yang bersyarah amat faham serba serbi.
Inilah malapetaka orang Melayu. Mereka tidak tahu apa yang mereka tahu. Mereka beranggapan serba serbinya mereka tahu. Bagaimana kita nak tahu isi hati orang Cina, kalau satu haram orang Cina pun orang Melayu tak pernah duduk sekampung, makan semeja, tidur setetangga?
Bagaimana nak tahu kisah sejarah orang Kristian di Malaysia atau kaum lain kalau buku sejarah yang ditulis oleh kaum-kaum tersebut mereka tak pernah sentuh pun?
Bagaimana nak kenal DAP kalau akhbar Roketkini pun tak pernah dengar dan konvensyen umum DAP pun tak pernah hadir?
Macam mana nak kenal Lim Kit Siang kalau asyik halau kawan itu dari kampung dan tak endahkan apa yang mereka hendak sampaikan? Kalau ini terjadi pada orang-orang kampung yang tak lulus darjah enam, saya tak risau sangat tuan-tuan.
Tetapi sikap ‘serba tahu’ ini wujud dalam kalangan rakan-rakan, saudara mara dan orang sejawatan saya di universiti atau pernah belajar di universiti luar negara.
Tahu ke tidak kita semua akan disoal di akhirat dan kita tidak boleh mencari alasan kita dengar ceramah ustaz sekian sekian yang mengajak membenci orang Kristian atau orang Cina.
Kalau ia pun kita nak marah sesuatu agama atau sesuatu kaum keseluruhannya, tidakkah patut kita dapatkan maklumat sebanyak mungkin dan sejelas boleh sebelum menghukum dan mencaci cerca?
Jangan suka menyampai-nyampai berita WhatsApp sebelum tahu sebenarnya hujung pangkal. Jangan anggap kerana hendak mempertahankan kedaulatan Islam, asalkan berita itu menyalahkan pihak lain maka kita semua terlepas daripada perbicaraan hari akhirat nanti.
Walaupun orang Melayu tidak mahu membuat PhD, namun mereka perlu periksa apa sebenarnya mereka tahu dan apa sebenarnya yang banyak tak tahu tapi hanya menumpang mereka yang pun pasti tak tahu.
Kalau orang Melayu nak betul-betul maju, jangan terperangkap dengan kata-kata tok guru atau tokoh politik yang menghina golongan manusia lain dengan kepastian yang sebenarnya datang daripada ilmu bayangan atas bayang yang lain.
PROFESOR DR. MOHD. TAJUDDIN MOHD. RASDI ialah pensyarah senibina.











