KUANTAN 2 Julai – Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) menyambut baik keputusan Kementerian Sumber Manusia menggugurkan cadangan untuk membawa masuk pekerja ladang dari Afrika.
Pengarah (Pengurusan) Program Kebajikan dan Khidmat Imigran (PKKI) Peka, Simon Ee Yoong Pin berkata, apa diharapkan kerajaan dapat mengekalkan jumlah pekerja asing sedia ada yang ketika ini berada di negara ini.
“Peka beranggapan, kerajaan perlu melaksanakan program baharu bagi memudahkan pekerja asing memperoleh permit kerja secara sah.
“Daripada menambah bilangan sedia ada, langkah seperti itu pasti akan menyempitkan lagi peluang pada pekerja tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dilaporkan berkata, kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengambil pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga pekerja asing dalam sektor perladangan pada masa akan datang.
Ahad lalu, menteri berkenaan berkata, kementeriannya menggugurkan cadangan itu selepas mendapat bantahan pelbagai pihak.
Kula Segaran berkata, kenyataannya sebelum ini telah dipetik di luar konteks kerana perkara itu hanyalah respon kepada keluhan seorang petani dalam sebuah forum.
Simon berkata, sememangnya pekerja asing diperlukan di negara ini terutama dalam sektor pekerjaan 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.
“Jadi, kerajaan sewajarnya memberi kemudahan kepada pekerja asing sedia ada memperoleh permit yang sah daripada memikirkan menambah bilangannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











