KUALA LUMPUR 29 Julai – Syarikat penerbangan yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) perlu memastikan tenaga kerja mereka mencukupi bagi tugasan pengendalian darat supaya proses daftar masuk berjalan lancar.
Pengurus Lapangan Terbang Kanan PEN, Mohd. Nadzim Hashim berkata, syarikat penerbangan juga perlu memastikan kemudahan seperti kiosk daftar masuk kendiri dan serahan bagasi kendiri (SBD) dapat beroperasi setiap masa sekali gus mengurangkan tempoh menunggu yang panjang di samping memberi pengalaman lancar kepada penumpang.
“Daftar masuk pada dua hari lepas menunjukkan sekurang-kurangnya dua kios daftar masuk kendiri yang disediakan syarikat penerbangan tidak dapat beroperasi malah beberapa kaunter SBD digunakan sebagai kaunter manual disebabkan kekurangan tenaga kerja untuk membantu penumpang menggunakan kemudahan SBD,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, PEN mempunyai 61 kaunter daftar masuk secara keseluruhannya dengan lebih 30 kaunter dikhususkan untuk syarikat penerbangan tempatan yang beroperasi di lapangan terbang berkenaan.
“Bagaimanapun, pemantauan harian kami menunjukkan tidak semuanya dibuka termasuk semasa waktu puncak harian antara 11 pagi hingga 1 petang.
“Lazimnya hanya kira-kira 70 peratus sahaja digunakan disebabkan sumber tenaga kerja tidak mencukupi dihadapi syarikat penerbangan. Sudah pasti, ini mengakibatkan tempoh menunggu yang panjang berlaku di lapangan terbang tersebut,” katanya.
MAHB masih menunggu kelulusan perintah pembangunan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk membiayai dan melaksanakan penambahan di PEN seperti dalam cadangan rangka kerja Kawal Selia Aset Suruhanjaya Penerbangan Malaysia.
“Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku pertama 2020 dan fasa pertama penambahan sehingga mencapai kapasiti 12 juta penumpang setahun tersebut akan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan,” katanya. – BERNAMA











