Syarikat kurang manfaatkan IA – AIM - Utusan Malaysia

Syarikat kurang manfaatkan IA – AIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Julai – Kebanyakan syarikat di Malaysia berhadapan cabaran dalam menilai dan mengurus Aset Tidak Ketara (IA), yang menjana lebih dua pertiga daripada nilai purata perniagaan masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia (AIM), Naser Jaafar berkata, IA adalah aset tidak berbentuk fizikal yang kurang dimanfaatkan sepenuhnya serta dinilai de­ngan rendah tetapi pada hakikatnya menjadi asas kepada lebih daripada 87 peratus nilai syarikat pada hari ini.

Katanya, berdasarkan laporan Perbendaharaan United Kingdom yang menyatakan bahawa secara kolektif lima syarikat paling bernilai di dunia mempunyai nilai terkumpul sebanyak AS$4.6 trilion (RM19.05 trilion) tetapi laporan kewangan kolektif syarikat-syarikat itu hanya berjumlah AS$228 bilion (RM944.03 bilion) mengikut penilaian aset ketara semata-mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas beliau, ini kerana lebihan nilai AS$4.4 trilion (RM18.22 trilion) yang tidak dicatatkan adalah IA merangkumi jenama, kod perisian, maklumat sulit termasuk rahsia perniagaan, data dan senarai pelanggan.

“Sumber penciptaan nilai semakin kuat pergantungannya kepada IA terutama melibatkan Harta Intelek (IP). IP masih lagi dilihat dari sudut perundangan dengan penekanan lebih kepada hal-hal berkaitan hak milik dan perlindungan, tanpa menilai potensi ekonominya melalui pengkomersialan.

“Syarikat perlu melabur lebih banyak untuk inovasi dan bidang dalam perniagaan yang tidak ketara seperti IP serta pembinaan kapasiti, bukan semata-mata pembelian jentera atau peralatan sahaja.

“Ini kerana hanya 30 peratus melabur dalam projek inovasi dalam tempoh tertentu manakala 36 peratus mempu­nyai mekanisme penggem­ble­ngan idea dan kemudahan prototaip yang tersedia untuk projek inovasi,” katanya ketika berucap sempena sesi dialog IA Menentukan Daya Saing Syarikat di sini hari ini.

AIM melalui inisiatif memudahcara akademi industri, Steinbeis Malaysia Foundation (STMY) terdahulu menganjurkan sesi dialog memberi fokus kepada topik Mengenali Nilai IA – Memacu Kejayaan, Kegagalan dan Nilai Lebih Tinggi bagi memberi pendedahan mengenai aset berkenaan kerjasama dengan EverEdge Global, New Zealand.

Sementara itu, Pengarah Urusan Asia EverEdge, Tyler Capson berkata, piawaian perakaunan konvensional belum lagi berkembang secara efektif dalam menghargai IA berban­ding dengan aset ketara.

“Hasilnya ialah kaedah penilaian tradisional seperti analisis berasaskan kos atau aliran tunai terdiskaun (DCF), yang sesuai digunakan untuk aset seperti hartanah atau loji dan peralatan, tidak boleh digunapakai atau menghadapi halangan-halangan besar apabila diaplikasikan ke atas IA.

“Hari ini, IA sebenarnya merupakan satu-satunya faktor yang dapat melonjakkan nilai perniagaan lebih tinggi daripada faktor aliran tunai semata-mata. Jika syarikat Malaysia ingin memanfaatkan IA mereka bagi menjana penilaian yang lebih tinggi, penting bagi lembaga pengarah dan pihak pe­ngurusan syarikat memahami IA,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini