Suspek tikam isteri disifatkan suami, ayah bertanggungjawab - Utusan Malaysia

Suspek tikam isteri disifatkan suami, ayah bertanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Suspek kes tikam isteri sehingga mati di Taman Seri Duyong Fasa Dua di sini pagi semalam disifatkan anak-anaknya sebagai seorang ayah yang bertanggungjawab dan penyayang.

Anak keduanya, Dazrin Mahat, 26, berkata, lelaki berusia 56 tahun itu sebelum ini menjaga sepenuhnya keperluan ibu mereka, Samnah Mohamed, 55, menjalani rawatan dialisis sejak enam tahun lalu dan adik bongsunya yang merupakan orang kurang upaya lembam.

Katanya, suspek juga mengambil alih sepenuhnya kerja-kerja rumah termasuk membersih, melipat pakaian dan memasak selepas kesihatan ibunya merosot.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ayahlah yang memandikan dan menjaga mama serta adik bongsu kami sepenuhnya selepas mama menerima rawatan dialisis tiga kali seminggu di klinik di Taman Cempaka sejak 2013.

“Kejadian semalam amat mengejutkan kami adik-beradik kerana ayah memang seorang suami dan ayah yang sangat bertanggungjawab serta penyayang,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini tadi.

Menurutnya, dia dan tiga beradik yang lain juga tidak menyimpan sebarang dendam terhadap suspek malah reda dengan kejadian itu.

“Kami sekeluarga hanya ingin meminta kerjasama orang ramai terutama netizen supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan teori melulu terhadap apa yang berlaku.

“Biarlah perkara ini diselesaikan pihak polis dengan lancar dan jangan terlalu teruja untuk berkongsi maklumat yang tidak sahih,” katanya.

Mengulas lanjut, Dazrin berkata, jenazah Samnah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Seri Duyong Fasa 1 di sini selepas selesai dibedah siasat hari ini.

Semalam Kosmo! Online melaporkan seorang suri rumah maut ditikam dengan pisau pemotong sayur oleh suaminya selepas mereka dipercayai bertengkar di kediaman pasangan itu di Taman Seri Duyong Fasa Dua.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa ditemui mati dalam keadaan terlentang berlumuran darah bersebelahan suspek yang turut cedera selepas cuba menikam diri sendiri di kawasan garaj rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi hari ini berkata, suspek yang mempunyai kad pesakit psikatrik itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Melaka.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini