KUALA NERUS 16 Julai – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke TH Hotel & Convention Centre di sini malam ini bagi mengucapkan selamat jalan kepada 150 jemaah haji yang akan berlepas ke Tanah Suci.
Keberangkatan tiba baginda di hotel itu pada pukul 11 malam disambut oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Yang hadir sama, isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Mufti Terengganu, Datuk Dr. Zulkifly Muda dan Pengurus Besar (Simpanan dan Pengeluaran) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Mohd. Ridzuan Wahi.
Kumpulan jemaah yang terdiri daripada 66 wanita dan 84 lelaki itu dijadualkan berlepas pada tengah malam ini kira-kira pukul 1 pagi menerusi penerbangan KT27T dari Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mereka kemudiannya akan meneruskan penerbangan dari KLIA pada pukul 5.10 pagi dan dijangka tiba di Madinah pada pukul 8.40 pagi (waktu Arab Saudi). – UTUSAN ONLINE











