IPOH 8 Julai – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan merasmikan Ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Bandar Meru Raya di sini.
Keberangkatan baginda bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim diiringi oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin serta Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.
Mula dibina pada 12 September 2011, bangunan Ibu Pejabat JBPM Perak yang didirikan di atas tapak berkeluasan 3.8 hektar itu telah berjaya disiapkan dan diserahkan pada 25 April 2016.
Bangunan tersebut dilengkapi dengan blok pentadbiran, dewan serbaguna, stor logistik, pondok pengawal, rumah pam dan tempat letak kenderaan.
Terdahulu, Sultan Nazrin menerima tabik hormat serta memeriksa kawalan kehormatan sebelum lagu kebesaran negeri dimainkan.
Selepas bacaan ayat suci al-Quran, Sultan Nazrin berkenan melafazkan titah perasmian sekali gus menandatangani plak perasmian serta melawat pameran yang disediakan.
Zuraida ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, bangunan tersebut menjadi tali pengikat dalam menyatupadukan kerajaan Persekutuan dan negeri sekali gus meneruskan kelangsungan hubungan yang sedia terjalin dengan JBPM.
Beliau berkata, bangunan itu juga perlu dijadikan sebagai hab keintelektualan bagi membentuk masyarakat yang lebih mengutamakan ciri-ciri persekitaran selamat dan sejahtera.
“Kelengkapan moden dan teknologi canggih serta persekitaran kondusif di bangunan ini sudah tentunya akan menyuntik kreativiti dan inovasi sekali gus menjadikan amanah digalas untuk menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, dapat dilaksana dengan cekap dan berkesan,” katanya. -UTUSAN ONLINE











