JAKARTA 18 Julai – Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia memaklumkan kawasan Jakarta Utara tidak mengalami hujan selama 60 hari sejak musim kemarau bermula.
CNN Indonesia memetik Ketua Sub Bidang Informasi Iklim BMKG, Adi Ripaldi berkata, fenomena itu berlaku di Jakarta Utara sahaja berdasarkan penelitian serta pemantauan yang dilakukan.
Kawasan lain di Jakarta juga mengalami kekurangan hujan pada kadar yang berbeza.
“Berdasarkan hasil tinjauan di BMKG, Jakarta Utara sudah lebih 60 hari tidak hujan dan kawasan lain pula merekodkan 31 hingga 60 hari tanpa hujan,” katanya.
BMKG juga meramalkan puncak musim kemarau di wilayah ini bakal berlaku pada bulan Ogos dan September ini bermula di Jakarta Utara hingga ke Jakarta Selatan.
Katanya, perkara yang paling membimbangkan sepanjang musim kemarau ini adalah berkaitan kekeringan serta kekurangan bekalan air bersih, terutamanya untuk mereka yang mengambil bekalan air daripada perigi.
“Mereka yang menggunakan bekalan air daripada perigi perlu memastikan kualiti air adalah bersih, malah ada yang sudah mula membeli bekalan air bersih dari luar.
“Tiada masalah bagi mereka yang mendapatkan bekalan air daripada paip,” jelasnya.
Adi juga menasihatkan kepada orang ramai supaya bersedia menghadapi musim kemarau yang berpanjangan sehingga Oktober ini.











