Suami isteri antara enam ah long dicekup - Utusan Malaysia

Suami isteri antara enam ah long dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 18 Julai – Sepasang suami isteri antara enam ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ dalam serbuan di sebuah kondominium di Serdang, Selangor kelmarin.

Kesemua suspek berusia 24 hingga 34 tahun yang melakukan ‘urusniaga’ secara atas talian itu dipercayai bergerak aktif di Perak, Selangor dan beberapa negeri lain yang masih dalam siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Superintenden Hasbullah Abd. Rahman berkata, tangkapan ke atas kesemua suspek itu susulan laporan polis dibuat seorang mangsa yang mendakwa menerima ugutan dengan kediamannya disimbah cat dan pagar rumah dirantai dalam kejadian pada 28 Mei lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berikutan itu katanya, satu pasukan khas ditubuhkan dengan risikan dilakukan selama dua bulan sebelum kesemua suspek berkenaan berjaya diberkas pada pukul 10 malam, kelmarin.

“Dalam serbuan itu, kita merampas beberapa barang kes termasuk telefon bimbit pelbagai jenama, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), tin cat berwarna merah, botol cat berwarna merah dan hitam, sejumlah rantai besi dan mangga, komputer riba serta dokumen peminjam.

“Siasatan mendapati, sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu mempunyai 15 kes di Perak dan empat kes di Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini