LONDON – Steve Bruce sah dilantik sebagai pengurus baharu Newcastle United, setelah menandatangani perjanjian yang bakal menyaksikan jurulatih itu kekal di kelab tersebut sehingga 2022.
Bruce menjadi pilihan bagi mengisi jawatan tersebut, selepas tawaran sama yang dikemukakan kepada Steven Gerrard dan Sam Allardyce ditolak, dan dia bakal mengendalikan kelab yang disokongnya sejak kecil lagi.
Newcastle tanpa pengurus sejak 30 Jun lalu selepas kontrak Rafael Benitez berakhir dan pengurus itu dianggap berjaya menerajui Newcastle sepanjang tiga tahun bersama kelab tersebut.
Pelantikan Bruce menyaksikan Newcastle adalah pasukan ke-10 yang dikendalikannya, dan salah sebuah kelab yang pernah dibimbing jurulatih itu adalah Sunderland yang merupakan seteru ketat The Magpies.
“Saya gembira dan amat berbangga dilantik sebagai ketua jurulatih di Newcastle United. Ini merupakan kelab yang saya sokong sejak kecil lagi dan ia juga adalah pasukan yang bapa saya ikuti, jadi ini detik istimewa buat saya dan juga keluarga.
“Cabaran besar menanti kami, tetapi saya dan staf sememangnya telah bersedia bagi mengharunginya. Kami bersedia memberikan segala-galanya bagi memastikan penyokong berbangga dengan pencapaian pasukan mereka,” kata Bruce. – AGENSI











