MELAKA 5 Julai – Sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Datuk Seri Rina Harun untuk terus kekal sebagai Ketua Srikandi parti itu.
Ketuanya, Azalina Abdul Rahman berkata, pihaknya yakin tiada calon lain yang dapat menandingi kekuatan semangat, pergerakan, tindakan serta perancangan beliau dalam mengukuhkan dan memperkuatkan sayap Srikandi parti itu.

Menurutnya, tugas dan gerak kerja yang dirintis oleh Rina sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu dipertingkatkan dan beliau perlu kekal memimpin memperjuangkan agenda parti.
“Dengan sokongan lebih padu dan kukuh daripada barisan kepimpinan Srikandi di peringkat negeri-negeri, Rina boleh memberi tumpuan dan memastikan matlamat serta aspirasi Srikandi Bersatu tercapai.
“Di samping memimpin sayap Srikandi, beliau juga mampu menjadi tulang belakang Bersatu sebagai sebuah parti politik yang kukuh dan disegani ramai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Bernama baru-baru ini yang memetik Rina belum memutuskan sama ada mahu bertanding untuk mengekalkan jawatan itu pada pemilihan parti akan datang.
Menurut Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, keputusan itu hanya akan dibuat selepas mesyuarat agung luar biasa pada 20 Julai ini, kerana buat masa ini beliau mahu agar mesyuarat itu yang membabitkan beberapa pindaan dalam perlembagaan parti berjalan lancar dan mendapat persetujuan daripada ahli. – UTUSAN ONLINE











