Skim TPUB-i untuk usahawan bumiputera dilanjutkan 3 tahun - Utusan Malaysia

Skim TPUB-i untuk usahawan bumiputera dilanjutkan 3 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan telah meluluskan lanjutan tempoh pengurusan skim pembiayaan Tabung Projek Usahawan Bumiputera-i (TPUB-i) kepada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) selama tiga tahun sehingga 30 Jun 2022.

LIM GUAN ENG

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah itu adalah selaras dengan komitmen Kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat mewujudkan peluang yang membolehkan usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang dengan sihat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di bawah skim ini, CGC telah diberi peruntukan sebanyak RM300 juta bagi membantu usahawan bumiputera yang menghadapi kesulitan dalam memperoleh akses kepada pembiayaan kewangan daripada institusi-institusi kewangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

TPUB-i ialah sebuah skim pembiayaan kontrak yang didanai oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyediakan pembiayaan modal kerja kepada usahawan bumiputera yang dianugerahkan kontrak atau projek daripada agensi-agensi Kerajaan, badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat bereputasi tinggi.

Skim tersebut dibuka kepada semua sektor ekonomi termasuk pembinaan dan bekalan, pembuatan, dan perkhidmatan. Skim ini menawarkan kadar keuntungan sehingga lima peratus setahun kepada pemohon kali pertama untuk pembiayaan sehingga RM3 juta.

Bagi pembiayaan berikutnya, skim ini menawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta pada kadar yang kompetitif.

Sejak penubuhan skim ini pada Julai 2009, CGC telah meluluskan dan mengagihkan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.58 bilion kepada lebih daripada 1,900 usahawan bumiputera.

Pada 2018, CGC mencatat pembiayaan tertinggi dalam setahun iaitu sebanyak RM330 juta.

Usahawan bumiputera yang berminat untuk memohon pembiayaan skim pembiayaan kontrak TPUB-i ini digalakkan untuk memohon melalui www.imsme.com.my – platform rujukan pembiayaan/pinjaman perusahaan mikro, kecil dan sederhana pertama di Malaysia.

Mereka juga boleh melawati cawangan CGC terdekat atau menghubungi talian +603 7880 0088 untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini