SEBAIK sahaja melangkah masuk ke arena seni hiburan tempatan kira-kira tiga tahun lalu, Khai Bahar, 25, memasang impian untuk bersatu dengan penyanyi wanita pujaannya, Siti Nordiana, 35.
Maka, segala perancangan diatur dan dilaksanakan sehinggalah pada tanggal 2 Julai lalu hasrat pemuda berasal dari Kangar, Perlis itu dimakbulkan apabila lahirnya lagu duet, Satukan Rasa yang menggandingkan mereka berdua.
Sebelum ini mereka pernah bergandingan dalam beberapa acara sebagai pasangan duet.
“Alhamdulillah, hasrat kami untuk disatukan kini menjadi realiti hasil dorongan para peminat yang tidak putus-putus berdoa untuk kami berduet.

“Saya bertuah, biarpun mengambil masa agak lama untuk melancarkannya, namun ‘kepenatan’ dirasai semua pihak dijamin berbaloi atas kualiti yang disandarkan kepada lagu ini.
“Satukan Rasa adalah lagu ciptaan kami berdua sementara lirik ditulis oleh Iman Imran,” ujar Khai.
Tambah Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, dia serta Nana sepakat menggunakan nama pena Kanda dan Dinda selaku komposer bagi karya berkenaan.
Sementara itu, Nana atau Siti Nordiana Alias menerangkan, keserasian sepanjang tiga tahun bersama Khai membolehkan mereka mudah bekerjasama menghasilkan lagu tersebut.
“Cuma ketika merakamkannya, Khai hadapi sedikit kesukaran untuk menghayati liriknya kerana ia berkisar rasa cinta yang dipendam oleh kedua-dua pihak.
“Apapun ia dapat diatasi setelah mendalami setiap bait lirik yang diilhamkan daripada kisah cinta agung antara Saidina Ali dan Saidatina Fatimah Az-Zahra,” ulas Nana.
“Kami dapat rasakan kolaborasi ini akan diteruskan selagi ada permintaan daripada peminat.
“Selain dalam lagu ini, kami berdua sekali lagi akan disatukan tetapi bukan sebagai duet, namun bergandingan dalam sebuah drama yang bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi.
“Menariknya, Satukan Rasa merupakan lagu tema rasmi drama bersiri tersebut yang diarahkan oleh Hadith Omar,” beritahu Nana.











