KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen melumpuhkan sindiket yang melindungi dan membekal tenaga kerja pendatang asing tanpa izin (PATI) ke dalam negara ini dalam serbuan yang dilakukan di sekitar kawasan Shah Alam dan Sekinchan, Selangor semalam.
Operasi yang dijalan Imigresen bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu dijalankan pada pukul 3.45 pagi semalam hasil risikan selama dua bulan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah rumah di Pasir Panjang, Selangor dan menahan sebanyak 21 PATI warga Indonesia iaitu 14 lelaki, lima wanita dan dua kanan-kanak perempuan.
“Turut ditahan ialah seorang lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai pengantara dan penjaga di lokasi berkenaan.
“Serbuan kedua dilakukan di sebuah restoran dan pangsapuri di sekitar Seksyen 27, Shah Alam yang dikenal pasti sebagai rumah transit untuk melindungi PATI yang masuk dan keluar dari negara secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Khairul Dzaimee, hasil serbuan ke lokasi telah menahan seorang lelaki warga tempatan bersama isterinya warga Indonesia dan dua pasangan suami isteri warga Indonesia.
Jelasnya, kesemua mereka disyaki bertindak sebagai ejen pengurus dan pemilik rumah transit itu yang bertanggungjawab untuk menjaga segala kemudahan tempat tinggal, makan dan minum untuk PATI.
“Serbuan seterusnya di kawasan Pasir Panjang telah menahan sebanyak 12 warga asing terdiri daripada sembilan warga Indonesia dan tiga warga Thailand,” katanya.
Khairul Dzaimee memberitahu, sindiket ini membawa PATI ke dalam negara untuk bekerja dalam sektor perkilangan dan pembantu rumah.
Ujarnya, hasil siasatan mendapati, PATI diminta membayar RM900 hingga RM1,000 setiap seorang untuk dibawa masuk atau keluar negara secara haram dan sindiket mampu meraih keuntungan sebanyak RM27,000 hingga RM30,000 bagi setiap perjalanan membawa masuk PATI ke dalam negara.
Tambahnya, kesemua yang ditahan disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 26 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966. – UTUSAN ONLINE











