Sindiket judi online kaut RM300,000 sehari tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket judi online kaut RM300,000 sehari tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG – Seramai 56 individu warga asing ditahan selepas didapati terbabit dengan sindiket judi online antarabangsa dalam satu serbuan di sebuah unit kondominium di Sungai Long di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 12.30 malam oleh Cawangan  Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang susulan maklumat yang diterima serta hasil risikan yang dilakukan. 

“Kesemua individu yang terdiri daripada 48 orang lelaki dan lapan wanita warganegara China ditahan itu sedang leka menjalankan urus niaga judi secara online dengan menggunakan komputer riba serta telefon bimbit sewaktu serbuan dilakukan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 56 tahun itu turut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah,” katanya pada satu sidang akhbar di IPD Kajang di sini hari ini. 

Menurut Ahmad Dzaffir, siasatan yang dilakukan mendapati sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan judi secara online sejak dua bulan lalu dan menyasarkan kaki judi dari Kanada, China dan Hong Kong. 

“Sindiket ini mampu mengaut kutipan pertaruhan mencecah 500,000 yuan atau bersamaan RM300,000 setiap hari, manakala pekerja pula diberi upah kira-kira RM4,000 hingga RM7,000 sebulan.

“Pihak polis turut merampas sebanyak 30 unit komputer riba, 45 unit telefon bimbit dan dua modem internet yang digunakan untuk kegiatan terbabit,” jelas beliau. 

Ujar beliau, semua suspek yang ditahan direman selama empat hari dan permohonan sambung reman akan dilakukan esok. 

“Kes disiasat di bawah Sekyen 4(1) (C),(D) dan (E) Akta Pertaruhan 1953,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini