Siasat masalah sistem saliran cetek akibat sisa buangan di Kuala Sungai Pinang - Utusan Malaysia

Siasat masalah sistem saliran cetek akibat sisa buangan di Kuala Sungai Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perikanan menyiasat masalah saliran cetek yang didakwa berpunca daripada sisa buangan kolam ternakan udang di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, di sini ketika ini.

Pemangku Presiden CAP, Mohideen Abdul Kadir berkata, masalah yang berlaku sejak lebih 10 tahun yang lalu itu dibimbangi boleh mencemarkan alam sekitar, kawasan perikanan dan mengakibatkan banjir kilat di kawasan berkenaan jika tidak ditangani segera.

Menurutnya, tinjauan yang dibuat CAP mendapati selain mendapan lumpur yang menyebabkan saliran sepanjang lebih kurang satu kilometer di sini tertimbus, sisa buangan dari kolam ternakan udang itu juga mengalir ke laut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“CAP bimbang kemungkinan sisa buangan berwarna putih serta berbuih yang terdapat di dalam saliran di sini mengandungi bahan yang boleh meracuni dan mengancam hidupan laut serta mencemarkan alam sekitar.

“Berpuluh hektar hutan bakau yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut juga turut musnah akibat pelaksanaan projek akuakultur tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mohideen berkata, CAP menerima aduan daripada nelayan-nelayan di kawasan tersebut yang mendakwa ikan, udang, ketam dan siput telah berkurangan dan sedang diancam kepupusan.

“CAP berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera kerana jika dibiarkan, alam sekitar dan kehidupan lebih 200 nelayan pantai yang bergantung hidup kepada sumber laut di kawasan berkenaan akan terjejas pendapatan mereka.

 

“Malah rumah-rumah penduduk berhampiran projek ternakan udang di sini juga mungkin diancam banjir kilat ketika hujan kerana sistem saliran tidak berfungsi berikutan pengaliran air tersekat dan melimpah di kawasan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, CAP berpendapat adalah perlu pihak bertanggungjawab menangani masalah ini dengan segera supaya kesan buruk yang lebih serius tidak berlaku ke atas alam sekitar, kehidupan nelayan dan penduduk di sini pada masa akan datang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini