KUALA LUMPUR – Empat pasukan terbaik Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2019 tidak sabar berentap sesama sendiri untuk merebut trofi berprestij dalam bola sepak wanita itu.
Juara bertahan, Kedah bakal turun menentang Selangor yang nekad untuk tidak akan memberi laluan mudah kepada lawannya dalam aksi separuh akhir pada pukul 9 pagi di Stadium MMU, Cyberjaya esok.
Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, naib juara musim lalu, Melaka bakal berdepan juara tiga kali, PDRM pada aksi yang berlangsung pukul 4 petang di vanue sama.
Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob percaya, PTSR adalah platform terbaik untuk ‘memburu’ bintang-bintang bola sepak wanita yang boleh diserapkan dalam skuad kebangsaan.
Katanya, ketua jurulatih wanita negara, Jacob Joseph telah mengenalpasti 30 pemain yang bakal dipanggil menjalani latihan pusat pasukan kebangsaan bagi membuat persiapan menghadapi Kejuaraan AFF wanita di Chonburi pada Ogos ini dan Sukan SEA Filipina.
“Selepas 20 perlawanan yang dijalankan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) kini kita sudah sampai ke peringkat empat terbaik.
“Sudah pasti PTSR ini merupakan platform terbaik untuk pemain-pemain wanita kebangsaan beraksi dalam perlawanan yang kompetetif. Jurulatih Jacob juga telah mengenalpasti 30 pemain yang bakal dipanggil menyertai latihan pusat pada 15 Julai ini.
“Pasukan negara akan membuat persiapan bagi menghadapi Kejuaraan AFF wanita di Chonburi dan Sukan SEA November nanti. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan penganjuran kali ini dan akan ada penambahbaikkan pada musim 2020 selaras dengan pelan F30,” katanya ketika sidang media pra perlawanan separuh akhir PTSR.
Turut hadir dalam sidang media tersebut, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam, pengurus pasukan Kedah, Norzaihana Mohamad Zain, pengurus Melaka, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah, PDRM, Young Syefura Othman dan Selangor, Mohammad Suhaizi Abdul Majid.
Pasukan wanita negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama Filipina, Singapura, Thailand dan Timor Leste dan dua pasukan terbaik akan layak ke separuh akhir. – UTUSAN ONLINE











