SANTIAGO 3 Julai – Fenomena gerhana matahari penuh yang jarang berlaku melanda sebahagian besar selatan Amerika Latin, semalam sehingga menukar hari siang menjadi malam dan menarik perhatian kebanyakan penduduk Chile dan Argentina.
Lapor Channel News Asia, beratus ribu orang berkumpul di La Higuera, Chile, sebuah negara yang menganjurkan acara teleskop astronomi paling berpengaruh di dunia dan mereka kagum dengan fenomena semula jadi menakjubkan itu.
Jelas portal itu, ribuan penduduk turut memenuhi kawasan pantai berhampiran bandar La Serena dengan bersorak dan bertepuk tangan apabila melihat bulan menutup cakera matahari sepenuhnya, mengakibatkan kedua-dua negara itu bergelap selama lebih dua minit 30 saat.
Gerhana matahari penuh jarang berlaku tetapi apa yang luar biasa adalah fenomena tersebut berlaku di Balai Cerap La Silla yang terletak di kawasan cuaca kering.

Dalam pada itu, ahli astronomi di Balai Cerap La Silla, Matias Jones menyifatkan kejadian terbabit jarang berlaku di pusat cerapan tersebut dan kali terakhir berlaku pada 1991.
Selain itu, seorang pelancong dari Australia, Betsy Clark bersama keluarganya merupakan antara beribu-ribu penduduk yang membanjiri kawasan sekitar balai cerap tersebut.
“Saya tidak pasti terdapat tempat yang lebih baik di dunia untuk melihat fenomena itu berbanding di La Silla kerana kawasan ini sangat kering dan kemungkinan matahari akan kelihatan,” katanya.
Kira-kira 300,000 pelancong membanjiri Coquimbo, wilayah dengan cuaca kering dan sedikit pencemaran cahaya sehingga mewujudkan syurga pengkaji bintang.
Gerhana matahari berlaku apabila bulan bergerak antara Bumi serta matahari, mengakibatkan planet itu berada dalam kegelapan.
Fenomena itu bermula pada pukul 1.01 tengah hari waktu tempatan di Lautan Pasifik dan kegelapan penuh seluas 150 kilometer dirakam di pantai Chile pada pukul 4.38 petang waktu tempatan, sebelum merentasi tenggara Argentina dan Atlantik Selatan. – AGENSI











