Shalin belum tentu ke Filipina - Utusan Malaysia

Shalin belum tentu ke Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kedudukan ratu boling negara, Shalin Zulkifli dalam skuad negara ke temasya Sukan SEA 2019 Filipina tidak terjamin berikutan hanya empat pemain lelaki dan wanita terbaik akan dipilih untuk menggalas cabaran negara pada temasya dwitahunan itu, November ini.

Susulan pendirian Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) untuk hanya menghantar pemain berdasarkan ranking pada pertandingan bulanan, kedudukan Shalin dalam skuad negara ke temasya itu nampak samar berikutan kecederaan belakang dialami oleh jaguh veteran tersebut.

Selepas tidak tersenarai dalam skuad negara ke Kejohanan Wanita Dunia 2019 di Las Vegas, Amerika Syarikat dari 22 hingga 30 Ogos ini, kehadiran pemain veteran berusia 41 tahun itu pada kejohanan kebangsaan, hujung minggu ini masih menjadi persoalan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok berkata, pemain itu tidak pasti sama ada dapat bersaing pada kejohanan kebangsaan berikutan kecederaan ringan pada bahagian belakangnya.

“Saya harap Shalin dapat kembali semula ke kejohanan kebangsaan, hujung minggu ini. Oleh kerana kesemua lapan pemain negara masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita berada pada tahap terbaik ketika ini, saya tidak dapat jamin kedudukan Shalin. Dia perlu bersaing untuk memburu tempat.

“Kita akan melihat prestasi pemain negara pada kejohanan kebangsaan dan kejohanan wanita dunia sebelum mendaftar mereka untuk ke Sukan SEA 2019 Filipina,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menghadapi cabaran yang hebat untuk menamakan skuad negara ke Filipina kerana mempunyai barisan pemain yang handal untuk mencapai sasaran empat pingat emas pada temasya dwitahunan itu.

“Oleh kerana hanya empat pemain masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita boleh dihantar ke Sukan SEA 2019 Filipina, maka risiko adalah terlalu tinggi jika pemain cedera atau tidak dapat beraksi dengan baik disenaraikan,” katanya.

Sebelum ini, bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah, menzahirkan keyakinan terhadap Shalin untuk memecahkan rekodnya berusia 30 tahun sebagai pemenang pingat emas terbanyak iaitu 22 emas sepanjang penyertaan pada temasya Sukan SEA antara 1983 hingga 1989. Shalin setakat ini memiliki 20 pingat emas dalam Sukan SEA.

“Pungutan pingat Shalin tak jauh daripada saya, dengan perbezaan dua emas sahaja lagi. Jika pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur lalu dia memenangi beberapa emas (tiga emas), saya yakin dia dapat atasi rekod saya kali ini jika mengekalkan prestasi kali ini,” kata Nurul Huda yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Filipina, baru-baru ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini