Setuju dengan syarat pembangkang - Utusan Malaysia

Setuju dengan syarat pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Julai – Kerajaan secara prinsip bersetuju dengan dua syarat pembangkang yang menuntut supaya warganegara berusia 18 tahun secara automatik berdaftar sebagai pengundi dan menurunkan had umur calon pilihan raya kepada usia sama.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu sudah dibawa oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) malah kajian mengenainya sedang dijalankan.

Walau bagaimanapun katanya, beliau tidak pasti sama ada dua syarat itu dapat dibacakan sekali dalam usul yang akan dibaca dalam sidang Dewan Rakyat, esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara prinsip kita akan setuju dengan syarat ini cuma saya tak dengar mereka hendak baca sekali atau tidak. Kita memang setuju secara prinsipnya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Jelas Syed Saddiq, syarat mengenai mendaftarkan secara automatik perlu diteliti kerana beberapa nama pengundi yang meninggal dunia beberapa tahun lalu masih terdapat dalam sistem daftar pemilih.

“Begitu juga data daripada Jabatan Penjara, tak semua boleh mengundi sebab kalau ada disabitkan kesalahan jenayah, ada yang tak boleh didaftarkan sebagai pengundi,” kata Ahli Parlimen Muar itu.

Bacaan pertama, usul berkenaan akan dibacakan oleh Syed Saddiq esok.

Blok pembangkang hari ini menyatakan kesediaan untuk menyokong pindaan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun secara bersyarat iaitu pendaftaran golongan berkenaan secara automatik.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bukan setakat itu, pembangkang juga mahu pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan iaitu kelayakan menjadi calon pilihan raya turut diturunkan kepada 18 tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini