LONDON – Juara tujuh kali Wimbledon, Serena Williams menjejakkan kaki ke suku akhir selepas menewaskan pemain Sepanyol, Carla Suarez Navarro 6-2, 6-2, hari ini.
Laluan pemain Amerika Syarikat (AS) berusia 37 tahun itu untuk menyamai rekod sepanjang zaman Margaret Court iaitu merangkul 24 gelaran Grand Slam kelihatan tidak berdepan sebarang kesukaran.
Pencabar yang bakal menanti Williams pada suku akhir ialah rakan senegaranya, Alison Riske, selepas pemain itu mengejutkan jaguh No. 1 dunia, Ashleigh Barty 3-6, 6-2, 6-3 dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.
Sementara itu, Zhang Shuai muncul selaku pemain wanita China pertama sejak Li Na berbuat demikian pada 2013 setelah dia melayakkan diri ke suku akhir Wimbledon.
Pemain yang menghuni ranking ke-50 dunia itu menundukkan wakil Ukraine, Dayana Yastremska 6-4, 1-6, 6-2.
Zhang Shuai yang berusia 30 tahun bakal berdepan sama ada pemain berusia 15 tahun, Coco Gauff atau bekas jaguh No. 1 dunia, Simona Halep untuk merebut tempat ke separuh akhir. – AFP











