Serangan gajah liar cemaskan keluarga di Kluang - Utusan Malaysia

Serangan gajah liar cemaskan keluarga di Kluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG – Sebuah keluarga di Kampung Sri Timur, di sini, berdepan detik cemas apabila kediaman mereka diserang dua ekor gajah awal hari ini.

Afian Kamin, 36, berkata, kejadian pada 1 pagi itu mengakibatkan kerosakan pada garaj kereta selain bahagian bumbung kereta Proton Saga FLX miliknya kemek akibat runtuhan garaj tersebut selepas dipijak mamalia berkenaan.

Menurut Afian, ketika kejadian dia dan ahli keluarganya sedang tidur, namun, terjaga apabila terdengar bunyi bising di luar rumahnya dan bunyi seperti zink dipijak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya bergegas bangun untuk melihat kejadian sebenar dan amat terkejut bercampur ketakutan apabila mendapati dua ekor gajah betul-betul berada di hadapan rumah.

“Saya hanya mampu memerhatikan garaj kereta roboh dan pada masa sama, isteri, ibu mentua serta dua anak turut terjaga,” katanya yang dihubungi hari ini.

Afian berkata, dia sekeluarga hanya mampu berdoa supaya selamat dari serangan itu dan kedua-dua haiwan berkenaan kemudian beredar selepas kira-kira sejam setengah berada di halaman rumah serta merosakkan beberapa tanaman seperti pokok kelapa, pokok pisang dan kelapa sawit.

“Sejak 12 tahun tinggal di rumah berkenaan, inilah kali pertama gajah menyerang kediaman kami.

Sebelum ini saya hanya mendengar dan melihat rumah jiran-jiran sahaja diserang gajah.

“Saya dan penduduk kampung sekitar kawasan ini, kini semakin bimbang apabila akhir-akhir ini gajah berkenaan berani memasuki kampung, berbanding sebelum ini hanya berada di kawasan kebun sahaja,” katanya yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Johor Salman Saaban ketika dihubungi berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci dan akan mengarahkan Jabatan Perhilitan Daerah Kluang untuk ke lokasi bagi memantau serta mengawal keadaan di situ. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini