KUALA LUMPUR 28 Julai- Beberapa warga Afrika kini diburu bagi membantu siasatan berhubung kejadian menyerang anggota polis di Flora Damansara dekat sini Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, individu yang diburu itu dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
“Sehingga kini tiada tangkapan baharu dilakukan. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan kita sedang mengesan beberapa warga Afrika yang terbabit dalam insiden itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) diserang kira-kira 50 warga Afrika ketika ingin melakukan tangkapan terhadap seorang suspek warga Nigeria yang dipercayai terbabit kes penipuan.
Samseng Afrika berkenaan dipercayai turut melarikan dompet, telefon bimbit dan kunci motosikal milik polis serta mengakibatkan seorang anggota cedera di muka.
Susulan itu, polis menahan 10 warga Afrika dan kini direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148, Seksyen 160 dan Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh, melakukan gaduh gempar dan mendatangkan kecederaan dengan sengaja.- UTUSAN ONLINE











