PASIR PUTEH 6 Julai – Penduduk Kampung Pulau Lima, di sini mengadakan solat hajat hari ini bagi memohon dua lelaki yang disyaki memecahkan tabung dan mencuri wang masjid itu malam tadi diberikan hidayah.
Setiausaha jawatankuasa masjid itu, Sidek Mamat berkata, menerusi solat hajat itu, ahli jemaah masjid berdoa beramai-ramai mengharapkan mereka berdua insaf dan kembali ke pangkal jalan.
“Mudah-mudahan mereka insaf dan tidak terus menjadikan kegiatan mencuri sebagai punca pendapatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menceritakan kembali kejadian tersebut, Sidek memberitahu, ketika solat Subuh pagi ini, mereka terkejut mendapati kesemua mangga tabung masjid telah dipotong dan wang sumbangan orang ramai yang tidak diketahui jumlahnya pula lesap.
Menurutnya, tabung berkenaan diletakkan di pintu masuk ruangan solat jemaah wanita dan bagi tujuan keselamatan, beberapa mangga digunakan untuk menguncinya.
“Menerusi rakaman kamera litar tertutup (cctv), sekitar pukul 2 hingga 3 pagi, dua lelaki berusia 20-an dilihat datang ke masjid dengan menunggang sebuah motosikal.
“Mereka memakai topi keledar dan bawa beberapa peralatan bersama sebelum dilihat menggunakan gunting pemotong besi bersaiz besar untuk memotong mangga pada tabung masjid,” katanya.
Sidek memberitahu, selain kejadian pecah tabung terbabit, beberapa unit cerek digunakan jawatankuasa masjid untuk menyediakan minuman kepada jemaah pernah dilaporkan hilang sebelum ini. – UTUSAN ONLINE











