KUALA LUMPUR 10 Julai – Polis membuka kertas siasatan terhadap komen dikeluarkan seorang pengguna Facebook untuk ‘mengebom’ lokasi seminar anjuran Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) yang dijadual berlangsung Sabtu ini.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, susulan daripada ugutan tersebut, Seminar The Amman Message (Mesej Amman) itu terpaksa dibatalkan.
“Keputusan membatalkan seminar itu dibuat sendiri oleh penganjur dan bukannya atas nasihat atau bantahan polis.
“Pembatalan itu dibuat susulan komen yang diterima oleh penganjur seminar terbabit di laman Facebook Gerakan Banteras Syiah bertarikh 6 Julai lalu daripada pemilik akaun Facebook, Amirol Md. Zain, iaitu “kita bomb tempat nie”,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Asmawati, Komen terbabit dihantar menerusi pautan https://www.facebook.com/419467972238567/posts/452657315586299/.
Katanya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Profesor Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil telah membuat satu laporan polis, semalam.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











