IPOH – Negara dijangka mampu memperoleh pendapatan berjumlah RM100 bilion menerusi kehadiran kira-kira 30 juta pelancong asing pada Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) nanti.
Sumbangan besar ini bakal memacu ekonomi semua pihak yang terlibat khususnya para pemain industri pelancongan termasuklah industri desa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pada tahun lalu negara merekodkan kunjungan seramai 25.8 juta pelancong dengan memperoleh pendapatan kira-kira RM84.1 juta.
Menurut beliau, untuk itu pemain industri ini perlu peka dengan kehendak prasaran semasa pelancong untuk kekal berdaya saing dan kompetatif.
“Kita perlu faham kehendak pasaran antaranya dengan merujuk komen-komen atau ulasan yang dipaparkan menerusi laman web pelancongan global seperti TripAdvisor.
“Sebagai perbandingan, Vietnam memperoleh tiga juta ulasan pelancong dalam TripAdvisor manakala satu juta ulasan bagi Malaysia.
“Sebab itu fokus VM2020 ialah pada eko pelancongan dan juga warisan kerana kita dapati ia menjadi trend serta kegemaran pelancong,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Peluang Perniagaan Dalam Sektor Pelancongan Perak bertempat di Sebuah hotel di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatakuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing.
Seminar dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu dihadiri penggiat industri pelancongan tempatan dan beberapa agensi terbabit.
Dalam pada itu kata Muhammad Bakhtiar, sektor pelancong domestik turut memainkan peranan penting apabila mencatat perbelanjaan sebanyak RM92.6 bilion pada tahun lalu iaitu meningkat kira-kira 11 peratus.
Katanya, justeru keutamaan sama turut ditekankan kepada pemain industri agar melihat keperluan pada segmen ini serta giat mempromosikan perkhidmatan masing-masing. – UTUSAN ONLINE











