PUTRAJAYA – Tindakan di bawah peruntukan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) akan diambil ke atas sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur yang mengadakan aktiviti berbentuk propaganda antiminyak sawit.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, siasatan telah dijalankan ke atas sekolah terlibat selepas merujuk laporan Menteri Industri Utama, Teresa Kok semalam mengenai aktiviti berbentuk propaganda antiminyak sawit di sekolah terbabit.
“Kementerian memandang serius aktiviti berbentuk propaganda antiminyak sawit di sebuah sekolah antarabangsa.
“Penglibatan murid dalam aktiviti berbentuk propaganda ini jelas bertentangan dengan dasar negara dan boleh menjejaskan nama baik negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Amin berkata, KPM juga akan mengeluarkan surat peringatan kepada semua sekolah antarabangsa susulan insiden itu bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang pada masa depan.
“KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang anasir propaganda dan indoktrinasi di institusi pendidikan swasta itu yang memburukkan imej dan nama negara,” katanya.
Terdahulu, Teresa semalam mendakwa sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur mengadakan aktiviti berbentuk propaganda antiminyak sawit.
Kejadian itu dipercayai berlaku dalam aktiviti tahunan sekolah melibatkan persembahan murid pada Jun lepas. – K! ONLINE











