KUALA LUMPUR 5 Julai – Pelawaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu ternyata mendapat reaksi daripada pelbagai pihak.
Antaranya Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang menangkis kembali kebimbangan Dr. Mahathir terhadap parti politik masyarakat Melayu yang terbahagi kepada enam.
Berikut merupakan kenyataan penuh yang dimuat naik dalam Facebook beliau:
1)Seruan pihak tertentu agar orang Melayu menyertai Bersatu untuk membentuk penyatuan Melayu tidak akan dilayan oleh orang Melayu.
2)Malah, orang Melayu akan terus menolak Bersatu kerana parti itu bertanggungjawab memecah kecilkan orang Melayu semata-mata kerana persengketaan peribadi antara pemimpin tertentu.
3)Orang Melayu juga merasa sangat tertipu dengan politik Bersatu yang telah menipu pengundi dengan menabur gula-gula dalam manifesto semata mata untuk mendapat undi, tetapi langsung tidak menunaikan janji mereka.
4)Bersatu juga meneruskan agenda ‘Divide and Rule’ dengan masuk ke Sabah dan Sarawak yang pastinya merosakkan kesatuan orang Melayu dan bumiputera di sana.
5)Bersatu juga bertanggungjawab terhadap penularan budaya songsang,liberal,lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang semakin bebas.
6)Bersatu juga dilihat bertanggungjawab menggadai kuasa dan kedudukan Melayu kepada DAP, terutamanya posisi strategik seperti Menteri Kewangan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali gus menghakis hak Melayu.
7)Lebih buruk lagi, Bersatu dilihat sebagai parti peribadi Dr. Mahathir dan ketiadaan beliau sebagai Perdana Menteri merupakan titik mati yang pasti bagi Bersatu.
8)Sehingga sekarang, ahli UMNO dan Pas semakin padu dan istiqamah. Penyatuan Melayu melalui dua wadah ini bakal membentuk gelombang besar yang akan membersihkan kotoran dan sampah yang ditinggalkan sekutu DAP termasuk Bersatu.
9)Bersatu bukanlah jawapan kepada cita-cita dan aspirasi perjuangan orang Melayu.
10)Seeloknya, ahli Bersatu segera berhijrah ke bahtera lebih besar UMNO-Pas dan sama-sama menyahut muafakat nasional yang dipimpin gerakan orang Melayu dan bumiputera Islam bersama rakan semua bangsa dan agama. -UTUSAN ONLINE











