Saya rasa bersalah - Azharina - Utusan Malaysia

Saya rasa bersalah – Azharina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KURANG latihan selain dibelenggu dengan masalah kesihatan, Azharina Azhar tidak menafikan ada perasaan bersalah terhadap peminat yang menonton Concert Azharina: Queen of Soul Sabtu lalu.

Tegas Azharina, walaupun tidak berpuas hati secara keseluruhan, namun sebagai seorang penyanyi dia sudah melakukan yang terbaik buat penonton.

“Tidak dinafikan ada beberapa kesilapan yang berlaku di atas pentas. Tetapi sebagai penyanyi saya tidak minta semua itu berlaku dan saya anggap itu antara dugaan yang perlu diterima.

Memuatkan artikel berkaitan…
 

“Sebenarnya kami tidak melakukan raptai penuh untuk konsert ini kerana ada kekangan waktu. Malah dua hari sebelum konsert juga hanya sempat berlatih dua lagu. Ada lagu yang dinyanyikan juga tidak melalui latihan dengan pemuzik.

“Jadi memang saya tidak nafikan ada perasaan bersalah buat peminat yang hadir,” katanya.

Belajar daripada kesilapan yang dilakukan tambah Azharina, walaupun apa yang terjadi, dia sebenarnya sudah memberikan yang terbaik untuk Concert Azharina: Queen of Soul.

Berjanji mahu memberikan yang lebih baik pada masa hadapan, dia melihat ini sebagai satu lagi cabaran dalam kariernya.

“Empat hari sebelum konsert mata saya tercucuk dengan benda tajam sehingga menyebabkan terdapat bahagian mata yang terkoyak. Sebab itu pada malam persembahan mata saya sedikit kabur.

“Tetapi apa yang saya belajar adalah untuk sentiasa mengambil apa yang berlaku ini sebagai satu cabaran buat karier nyanyian saya. Ini kerana karier nyanyian adalah segala-galanya buat saya.

“Jadi bila berkongsi bagaimana kisah permulaan saya sebagai penyanyi membuatkan saya cukup sebak sebab teringat kembali apa yang saya lalui,” katanya yang turut mengundang Lan Solo dalam konsert tersebut.

Membawa gelaran Queen Of Soul, Azharina tidak melihat ada beban yang perlu dibawa. Hanya mahu berterima kasih kepada peminat yang memberikan gelaran tersebut, sebagai penyanyi misinya hanya untuk menghiburkan peminat.

“Saya tidak meminta gelaran tersebut, semua ini peminat yang berikan. Sebagai penyanyi saya ikhlas dengan karier saya.

“Kalau mahu kata gelaran ini seperti satu beban, saya rasa tidak tepat memandangkan saya sangat hargai apa sahaja yang diberikan peminat,” katanya.

Turut mendendangkan lagu baru berjudul Kau Kasihku, kongsi penyanyi kelahiran Sabah ini, ada kejutan yang akan dibawakannya. Kongsinya, Kau Kasihku akan mempunyai dua versi berbeza dalam memberi kelainan buat pendengar.

“Lagu ciptaan Korie ini sebenarnya mempunyai dua versi yang berbeza, satu akan diperdengarkan dalam genre rock dan satu lagi dalam versi balada.

“Ini adalah kelainan yang ingin saya dan pihak pengurusan saya bawakan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini