Saya mengaku bakar kereta mufti - Mie Tomoi - Utusan Malaysia

Saya mengaku bakar kereta mufti – Mie Tomoi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 6 Julai – Suspek terakhir kes bakar kereta Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pada Mac lalu, dikenali sebagai Mie Tomoi akhirnya ditahan polis dalam serbuan di hadapan sebuah rumah di Merbau Pulas, Kuala Ketil, Kedah awal pagi ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, suspek berusia 48 itu ditahan kira-kira pukul 4 pagi ini di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil soal siasat, Mie Tomoi telah mengaku terlibat dengan kes bakar kereta Mufti Perlis bersama seorang lagi rakannya yang telah ditangkap oleh polis sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil ujian air kencing, suspek juga didapati positif dadah. Akhirnya kita berjaya menahan suspek terakhir kes berkenaan (bakar kereta Mufti Perlis),” katanya di sini hari ini.

Pada Mei lalu, seorang peniaga pasar malam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan membakar Mohd. Asri, Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd. Azimar Abd. Razak, 36, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Manakala empat lagi suspek dalam kes bakar kereta Mohd. Asri dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian pada 22 Mac lalu, kereta rasmi Mohd. Asri iaitu jenis Honda Accord rosak setelah disyaki dibakar oleh pihak tertentu semasa diletakkan di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini pada pukul 5.45 pagi.

Berikutan itu, bahagian enjin kereta Honda Accord berwarna hitam tersebut terbakar sepenuhnya. Turut terbakar, tayar hadapan sebelah kiri kenderaan tersebut manakala cermin belakang dan depan turut pecah.

Pada Januari lalu, penduduk negeri ini dikejutkan dengan isu pemecatan 25 orang imam kariah manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke tempat lain tanpa alasan.

Dalam pada itu, Noor Mushar memberitahu, Mie Tomoi direman selama empat hari bermula hari ini- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini