KETUA Jurulatih Selangor, B. Sathianathan memuji semangat juang yang dipamerkan The Red Giants ketika bangkit membenam pasukan ‘adik, PKNS FC 3-2 dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Menurut Sathianathan, barisan pemainnya telah menunjukkan persembahan yang cemerlang walaupun kehilangan beberapa tonggak utama atas faktor kecederaan.
“Kami berjaya mengawal permainan dengan dua gol yang berjaya dijaringkan menerusi set piece, namun sebenarnya kami mampu menghasilkan lebih daripada tiga gol, cuma apabila kami mendahului 3-1, pemain mula hilang bola.
“Bagaimanapun, syabas buat pemain,” katanya selepas perlawanan berkenaan.
Sathianathan turut berkata, secara keseluruhannya kesemua anak-anak buahnya bermain dengan baik dan telah bekerja keras untuk berada di kelompok empat pasukan teratas Liga Super pada musim ini.
Dalam pada itu, pengendali PKNS, Datuk K. Rajagobal mengakui, kekalahan tersebut berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan pasukannya, sekali gus memberi peluang kepada Selangor menambah jaringan.
“Kami berjaya menjaringkan gol pertama pada minit awal permainan, tetapi akibat kelekaan kami dibolosi dua gol, pada babak kedua kami sekali lagi dibolosi.
“Kami cuba melakukan beberapa serangan dan berjaya mendapat gol kedua, namun ia sudah terlambat,” jelas bekas pengendali skuad kebangsaan itu.
Pada aksi di Shah Alam, PKNS FC mula mendahului menerusi jaringan pemain import dari Colombia, Romel Oswaldo Morales seawal minit kedua perlawanan sebelum Selangor bangkit meraih dua gol menerusi Sandro Da Silva (m-39) dan Ifedayo Olusegun (m-43).
Ifedayo mencipta gol peribadi kedua pada minit ke-51, sebelum PKNS FC merapatkan kedudukan menerusi Tamirlan Kozubaev pada minit ke-77. – Bernama











