Sarang tebuan super bahayakan penduduk Alabama - Utusan Malaysia

Sarang tebuan super bahayakan penduduk Alabama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUSCALOOSA, Alabama – Saintis di Alabama memberi amaran tentang bahaya tebuan selepas sejumlah sarang gergasi serangga tersebut dilihat di negeri berkenaan, lapor akhbar Huffington Post.

Pakar-pakar pertubuhan Sistem Lanjutan Kerjasama Alabama menyatakan bahawa sebilangan sarang tebuan itu menyamai saiz sebuah kereta Volkswagen Beetle.

Mereka berkata, sarang itu empat kali ganda lebih besar berbanding sar ang tebuan biasa dan mengandungi kira-kira 15,000 ekor tebuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Digelar sebagai sarang super kerana saiznya yang luar biasa, serangga itu membina sarangnya di dalam kereta lama, garaj dan pondok, dalam tanah serta kediaman manusia.

Pada masa lalu, banyak koloni tebuan mati pada musim sejuk.

Bagaimanapun, pada tahun ini, lebih banyak koloni tebuan terselamat dan serangga itu membina sarang super.

“Hanya ratu tebuan mempunyai enzim antibeku di dalam badannya,” kata pakar entolomogi organisasi tersebut, Charles Ray kepada akhbar The New York Times.

Katanya, perubahan iklim global mengakibatkan banyak koloni tebuan terselamat ketika musim sejuk.

Menurutnya, iklim yang semakin panas juga membolehkan setiap ekor ratu tebuan menghasilkan lebih 20,000 telur serangga tersebut.

Tambah organisasi sama, jumlah sarang tebuan pada tahun ini melebihi angka yang dicatatkan pada 2006 dengan kira-kira 90 sarang super ditemui di Alabama.

Orang ramai pula dinasihatkan agar tidak mengganggu sarang berkenaan dan menghubungi skuad pemusnah serangga profesional bagi menanganinya.

Sementara itu, pihak berkuasa Georgia turut memantau situasi di negeri berkenaan khususnya sarang spesies tebuan yang dikenali sebagai jaket kuning. Tebuan agresif itu kerap membuat sarang di dalam tanah.

“Tidak seperti lebah, serangga ini boleh menyengat berulang kali,” kata pegawai pertanian Universiti Georgia, James Murphy. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini